Berapa kilo yang anda patut bulking baru boleh mula cutting?
Siapa dalam fasa bulking, mesti pernah tertanya, sampai berapa kilo baru boleh mula cutting? Ini dikira soalan yang agak popular dalam bina badan, terutama sekali dalam kalangan orang yang baru.
Sebenarnya, bulking tidak mengikut kepada berapa kilo yang anda kena naik. Ikut suka berapa kilo yang anda mahu naik, itu adalah pilihan anda. Ia juga tidak bergantung pada tempoh. Ada yang kata cukup bulking 4 bulan, kemudian sambung cutting. Ada juga yang bulking seminggu cutting seminggu lagi. Mana yang betul? Bulking tak ada tempoh tetap, sebenarnya.
Kalau anda nak bulking sebulan, silakan! Kalau anda nak bulking setahun-dua, pun tiada masalah. Jadi, apakah penanda aras yang anda patut guna semasa bulking?
Untuk bulking, anda kena sasarkan yang kenaikan berat badan anda adalah bersama kenaikan peratusan lemak yang sangat-sangat minimum. Sedihnya, ramai bulking naik berkilo-kilo, sampai peratusan lemak pun naik mendadak. Ini adalah konsep bulking yang kurang tepat. Buat apa naik lemak banyak-banyak kalau anda nak bakar juga nanti? Membazir sahaja, otot pula sikit.
CARA BULKING YANG BETUL
Pertama sekali, anda kena tahu peratusan lemak badan anda sekarang sebelum mula bulking. Pergi dapatkan mesin timbang di mana-mana yang anda boleh cari. Ada di pasaraya, ada di gym. Selepas anda dapat peratusan lemak badan anda, catit! Nanti terlupa pun susah juga dibuatnya.
Selepas anda tahu peratusan lemak badan anda, barulah anda boleh mula bulking. Sasaran anda adalah untuk naik maksimum 2kg sahaja sebulan. Lebih daripada itu, anda kena perlahankan semula sebab kebanyakan daripada itu adalah lemak (melainkan anda guna steroid – tidak digalakkan).
Bulking tidak bermaksud anda boleh makan sesuka hati. Diet cutting pula bukan bermaksud anda tak boleh makan macam-macam. Dua-dua kena main kira-kira kalori sebenarnya. Sebab itu, kalau bulking ikut sedap perut, memang perut yang naik. Cutting ikut suka hati, memang kurus sekali dengan otot-otot pun kecut.
Pucuk pangkalnya, bulking tidak mengira berapa banyak anda naik keseluruhan dan berapa lama anda bulking. Selagi anda boleh naikkan berat badan tanpa kenaikan peratusan lemak badan yang banyak, ada boleh teruskan bulking. Dan, sekiranya peratusan lemak badan anda meningkat melebihi 18-25%, sudah tiba masa anda nilai semula kualiti bulking anda.



Comments
Post a Comment